Wednesday, November 11, 2009

KENALI RASULULLAH S.A.W

Pepatah ada mengatakan "tak Kenal Maka tak Cinta!" . Rabiatul Adawiyah dalam syairnya mengatakan :
" Engkau derhaka"
" Tapi mengaku cinta pada-Nya"
"Inilah keanehan zamanku"
"Jika benar engkau cinta,
Tentulah mentaati-Nya selalu".
Pencinta akan taat pada kekasihnya"


1430H begitu jauhnya kita dengan Rasulullah. Kekadang kita rindu bayangan dan membayangkan bagaimanakah rupa kekasih Allah ini. Justeru, saya memetik apa yang diceritakan dan digambarkan rupa dan sifat rasulullah dalam Kitab Riwayat rasulullah yang diterbitkan oleh Warisan Ilmu Publications mengatakan bahawa nabi Muhammad adalah termasuk dalam golongan manusia yang paling hebat wajahnya. Kehebatan wajahnya sungguh menggetarkan sesiapa yang memandangnya. Diriwayatkan ada seorang lelaki badwi menjadi gementar badannya apabila dia terpandang wajah baginda kerana tersangat hebatnya.


Saidina Ali berkata, sesiapa yang baru melihatnya nescaya dia akan merasa takut kerana kehebatannya. Tetapi apabila sudah lama bergaul dengan baginda, dia akan merasa sangat sayang kepadanya.


Selain wajahnya yang sangat hebat, Rasulullah juga adalah seorang insan yang indah wajahnya. Keindahan rupanya mendekati rupa datuknya Nabi Adam dan rupa Nabi Ibrahim sebagaimana dalam hadis yang bermaksud :" Aku sangat serupa dengan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Tetapi antara kedua-duanya agak jauh sedikit perbezaannya". Maksud kata-kata rasulullah ialah bentuk tubuh badan sahaja serupa tetapi wajah jauh sedikit miripnya.


Bentuk muka Rasulullah bujur sireh. Wajahnya putih bersih bercahaya berseri-seri bak bulan purnama 14 hari. tidak puas mata memandang. Bentuk Kepala cukup menarik yang seimbang dengan bentuk wajahnya. Rambutnya ikal berombak indah dengan warna yang sangat hitam, berkilat dan sangat lebat. Panjangnya sampai mencecah kedua-dua belah bahu tetapi di bahagian sisi hanya mencapai cuping telinganya sahaja. Nabi tidak memotong rambut kecuali setelah diizinkan Allah. Nabi sering meminyakkan rambutnya tetapi dalam hal menyisir rambut baginda lakukan hanya sekali sekala sahaja. nabi menyisir rambut dari depan ke belakang tetapi kemudiannya baginda mengubah stail dengan membelah ditengah-tengahnya. nabi tidak mempunyai jambang. Dahi baginda luas. Kening melengkung seperti bulan sabit 3 hari. Amat cantik dan hampir bersambung ditengah-tengahnya.. Kelihatan cahaya seperti memancar dicelah-celah bulu matanya yang lebat dan lentik. Bentuk matanya adalah besar dan agak panjang. mata hitamnya besar dan sangat hitam manakala mata putih sangat putih dan berurat merah. Hidung mancung indah dengan lubang hidung yang kecil. Mulut baginda lebar dan luas sepadan dengan bentuk wajah baginda.Bibir mulut nipis dan cantik menarik. Pipi lurus tidak membonjol dan cengkung.Gigi baginda putih dan tersusun rapi tetapi tidak terlalu rapat. Baginda selalu membawa kayu sugi untuk menjaga keputihan dan kebersihan giginya. Nabi mempunyai misai yang selalu diandam. Janggut nipis zaman mudanya dan tebal usia tua juga dijaga rapi. leher baginda jinjang seperti perak kerana putih bercahaya. dada baginda bidang, bahunya lebar dan berotot gagah. Pinggang baginda ramping dan punggung berisi lebar. Tumit kecil halus menandakan orang yang cepat berjalan dan kuat. Perut baginda rata tidak buncit. Jari tangan dan kakinya panjang panjang. Kulit baginda putih kemerah-merahan. Tingginya sederhana dan nampak perkasa dan segak.


Keelokan dan ketampanan rasulullah tiada tandingnya dengan dikurniakan sifat-sifat peribadinya yang tiada tolak bandingnya. Itulah kekasih Allah dan Rasul pemimpin umat. Mudah-mudahan suatu saat kita akan bersua dengan baginda dan mendapat syafaat darinya. Amin



No comments: