Thursday, December 17, 2009

ERTI HIJRAH


PENGHIJRAHAN MINDA DAN TASAWUR
Oleh: Hasnan bin Kasan
Panel Penulis JAKIM
Hijrah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani pula ialah meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, akidah, emosi dan tasawur serta menggantikannya dengan yang lain.
Hijrah amat terkenal di kalangan umat Islam kerana ia berkait rapat dengan peristiwa perpindahan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke Madinah dan juga merupakan tarikh permulaan pengiraan tahun Islam. Hijrah lahiriah atau perpindahan badan dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu negeri ke negeri yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilakukan oleh manusia. Sememangnya manusia kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tujuan yang tertentu. Saidina Jaafar ibn Abi Talib dengan rombongannya telah berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari tekanan pihak musyrikin Quraisy yang begitu dahsyat. Ramai para sahabat r.a selepas itu telah berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan akidah mereka dari diancam oleh musyrikin Mekah.
Di negara kita, ramai penduduk kampung telah berhijrah ke bandar. Tidak kurang juga yang berhijrah dari bandar ke bandar dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau mencari keselesaan melalui pelbagai cara dan bidang mengikut kebolehan dan kelayakan masing-masing. Di peringkat yang lebih rendah lagi, haiwan dan binatang juga melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat terutama di kawasan gurun atau tanah lapang yang luas semata-mata untuk mendapatkan makanan dan perlindungan akibat daripada perubahan musim dan cuaca.
Jika diteliti maka sudah pasti terdapat perbezaan yang amat jelas antara hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hijrah yang dilakukan oleh manusia zaman sekarang iaitu yang tinggal di kampung menuju ke bandar. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah bertujuan menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf r.a telah meninggalkan semua harta mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka. Manakala hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar adalah bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagimana ia dilakukan kerana-Nya.
Intipati peristiwa hijrah baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasadiah yang dapat disaksikan oleh mata, akan tetapi tujuannya yang lebih penting ialah untuk membimbing dan mendidik para sahabat r.a yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit. Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para sahabat r.a dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Falsafah hijrah ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda menegur kata-kata Saidina Umar kepada Bilal 'Wahai anak hitam'. Baginda berkata kepada Umar'Sesungguhnya pada diri engkau ada ciri jahiliyah'.
Falsafah hijrah yang telah disemai dan dididik oleh Rasulullah s.a.w ke dalam diri para sahabat r.a ini perlu dihayati oleh generasi Islam masa kini. Sekiranya dengan berbekalkan falsafah hijrah, Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.
Sekiranya masyarakat Islam yang awal amat disegani dan dihormati oleh masyarakat yang bukan Islam, mengapa pula umat Islam hari ini dengan bilangannya yang ramai, muka buminya yang luas, kekayaan bahan mentahnya yang melimpah ruah dan cerdik pandainya yang tidak kurang hebatnya, masih menjadi masyarakat yang dipandang rendah dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam masa kini juga telah dijadikan oleh masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Barat sebagai tempat memasarkan barangan keluaran mereka. Al Syahid Sayid Qutub ada menyatakan, 'Sehinggakan untuk mendapatkan sebatang jarum pun orang Islam terpaksa mengimportnya dari Barat'.
Di samping membawa para sahabat r.a berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah turut membawa bersama-sama minda mereka untuk berhijrah dari kepercayaan, tasawur, sikap dan akhlak jahiliyah kepada kepercayaan, tasawur, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sebagai contoh, peristiwa ketika berada di dalam gua Tsur, baginda telah membetulkan kepercayaan dan tasawur yang ada di dalam minda Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a berada di dalam keadaan ketakutan dan kerisauan iaitu bimbangkan baginda berjaya dikesan atau diapa-apakan oleh kaum musyrikin Mekah, baginda pun berkata 'Janganlah engkau berasa risau dan sedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita'.
Dalam merobohkan tasawur jahiliyah daripada masyarakat Islam yang baru mengenal agama Islam tentang konsep persaudaraan sesama manusia tanpa mengenal batas sempadan negeri, warna kulit dan keturunan, baginda telah mempersaudarakan antara dua golongan yang mempunyai perbezaan yang jauh dari segi status. Baginda telah mempersaudarakan antara golongan yang mempunyai rumah dan tanah (Ansar) dengan golongan pendatang (Muhajirin) yang tidak mempunyai apa-apa selain dari diri dan agama yang mereka yakini.
Dalam menghijrahkan tasawur mereka tentang kedudukan seorang nabi atau rasul, baginda telah menunjukkan betapa diri baginda adalah manusia biasa yang tidak ada bezanya dengan manusia lain. Cuma bezanya Allah telah menurunkan wahyu kepadanya dan menyuruhnya supaya menyampaikannya pula kepada seluruh manusia. Di dalam peperangan Badar, baginda telah menunjukkan betapa orang lain juga berhak memberikan pendapat sekalipun dalam saat-saat genting. Apabila salah seorang dari sahabat baginda mencadangkan supaya tentera Islam berkubu di bawah lembah berhampiran dengan kawasan air, baginda telah menerima cadangan tersebut sekalipun pada asalnya baginda mempunyai perancangan dan cadangan yang tersendiri. Di dalam peperangan Uhud pula, baginda telah bersama-sama berjuang sehingga ditimpa kecederaan yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang lain. Di dalam peperangan Ahzab, baginda turut bersama-sama mengerah tenaga untuk menggali parit yang telah dicadangkan oleh Salman al Farisi. Malah diriwayatkan bahawa baginda telah mengangkat batu yang besar yang tidak upaya diangkat oleh para sahabat r.a yang lain dan baginda telah mengalas batu di perut untuk menahan lapar akibat kekurangan makanan.
Di dalam peperangan Hunain, tatkala tentera Islam melihat bilangan mereka lebih ramai daripada bilangan tentera musuh lalu mereka merasakan bahawa mereka pasti mengalahkan tentera musuh. Namun Allah telah mengajar dan membawa minda mereka berhijrah. Allah s.w.t telah mengajar orang-orang Islam bahawa yang menentukan kemenangan dan kekalahan dalam peperangan itu adalah Allah s.w.t, bukannya bilangan dan kelengkapan yang hebat. Allah s.w.t telah menimpakan kekalahan di pihak tentera Islam sehingga Rasulullah s.a.w pula terdedah kepada serangan dan ancaman pihak musuh sehingga peristiwa ini telah diabadikan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a tentang kehidupan di dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda mereka ketikamana baginda bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berehat di bawah sebatang pokok dalam satu perjalanan. Baginda telah berkata kepada para sahabat: 'Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia adalah seperti kita singgah di bawah pohon ini. Kita hanya singgah buat sementara waktu dan akan meneruskan perjalanan selepas beberapa ketika'.Dalam sabdanya yang lain, baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa 'Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk alam akhirat'.
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a terhadap konsep usaha dalam kehidupan dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda para sahabat r.a bahawa sekalipun Islam menekankan bahawa kehidupan akhirat itu merupakan kehidupan yang lebih baik dan kekal tetapi ia bukan bermakna boleh membantutkan usaha manusia ketika hidup di dunia ini. Baginda telah membayangkan, sekalipun seseorang itu tahu bahawa hari kiamat akan berlaku pada keesokan hari namun dia tetap perlu melakukan kerja atau usaha yang sepatutnya dilakukan. Dalam perkara ini, baginda telah bersabda yang bermaksud, 'Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut'.Jika difikirkan, apalah faedahnya menanam benih kurma yang sudah pasti tidak akan mengeluarkan hasilnya dalam tempoh beberapa jam sedangkan keesokan harinya akan berlaku hari kiamat. Si penanam sudah pasti tidak akan sempat memakan hasil benih yang ditanamnya itu.
Namun baginda telah melafazkan hadith ini untuk membawa minda para sahabat r.a dan umat Islam bahawa tugas manusia di dunia ini ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sesempurna yang mungkin tanpa bersikap sambil lewa atau cuai. Ini kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang ditunaikan akan dikira oleh Allah sebagai kebajikan sekalipun hasilnya tidak sempat dirasai oleh pelaku ataupun orang lain.
Baginda juga telah menanamkan ke dalam kefahaman masyarakat Islam bahawa alat atau jambatan untuk sampai ke akhirat adalah kehidupan dunia. Mereka yang meninggalkan kehidupan di dunia dengan alasan untuk menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat merupakan orang yang tersalah anggap terhadap konsep di dalam kehidupan Islam. Ini kerana kebahagiaan atau penderitaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan dan usaha manusia ketika hidup di dunia. Di dunia manusia dipikulkan dengan tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sempurna, iaitu apabila sahaja dia bertaraf mukallaf dan berakal. Bagaimana mungkin manusia itu hendak mendakwa kebahagiaan menantinya di akhirat sedangkan dia tidak mengenali kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan ketika dia hidup di dunia?.
Antara para sahabat r.a yang telah menerima penghijrahan minda yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah Saidina Umar al Khattab r.a. Beliau telah memahami bahawa dalam mencari kemudahan dan bekalan kehidupan dunia, manusia tidak boleh berserah kepada Allah tanpa berusaha. Dengan kefahaman ini, Umar telah memarahi orang Islam yang hanya duduk beribadah di dalam masjid tanpa keluar berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau telah mengungkap kata-kata yang kekal dalam catatan sejarah Islam yang unggul 'Bagaimana kamu boleh hanya berserah diri kepada Allah sedangkan kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak'. Saidina Umar r.a juga telah mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan penghijrahan minda dan keyakinannya berhadapan sesama makhluk ketika beliau sedang mengucup Hajar al Aswad, 'Wahai batu, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah mengucup engkau nescaya aku tidak akan mengucup engkau sepertimana yang aku lakukan sekarang ini'. Begitulah jelasnya tasawur Saidina Umar r.a terhadap Hajar al Aswad yang tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudarat kepadanya. Tasawur ini terhasil setelah Umar r.a menerima sinar hidayah dan penjelasan daripada ajaran Muhammad s.a.w yang menanamkan keyakinan bahawa kuasa yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia hanyalah kuasa yang datang dari Allah Tuhan Penguasa alam.
Demikianlah penghijrahan minda yang telah dibawa oleh Islam yang telah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Usaha memahamkan manusia dengan konsep dan tasawur yang telah dibawa oleh baginda itu telah diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, para salafus soleh serta para ulama dan pendakwah di masa dulu dan sekarang. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain dan juga jauh dari tasawur atau keyakinan yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan tasawur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ruba’ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei 'Mengapa engkau datang kepada kami ?'. Ruba’ei menjawab 'Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat'.
Usaha-usaha menghijrahkan minda dan tasawur manusia zaman kini amat perlu dan mesti dilakukan untuk memastikan semua manusia akan terus menjalani kehidupan dengan berlandaskan pemikiran bahawa dirinya adalah bebas dari sebarang perhambaan dan ketundukkan sama ada sesama manusia atau makhluk lain. Dalam erti kata lain, usaha-usaha membawa minda dan tasawur masyarakat Islam masa kini untuk berhijrah ke alam suluhan cahaya hidayah Ilahi amat perlu bagi memastikan setiap individu muslim menikmati kemerdekaan yang penuh dari sebarang unsur penjajahan sama ada penjajahan lahiriah ataupun batiniah. Dengan membebaskan diri dan jiwa manusia dari perhambaan atau penjajahan serta menjadikannya bebas merdeka, kita akan dapat melihat manusia berupaya mengketengahkan sifat-sifat positif yang wujud di dalam diri mereka dan mengusir jauh sifat-sifat negatif yang sentiasa menghalang perkembangan dan pembangunan manusia.
Kemerdekaan dan kebebasan manusia dari segi lahiriah dan batiniah ini amat perlu untuk menuju ke sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun. Segenap lapisan masyarakat sama ada di kampung, di kota, pelajar, pendidik, ahli perniagaan, ahli politik, ahli agama, pemimpin, pentadbir dan sebagainya perlu menghayati penghijrahan minda dan tasawur sepertimana yang telah dihayati oleh para sahabat Rasulullah s.a.w di suatu ketika dahulu. Sungguhpun negara kita telah memperolehi kemerdekaan semenjak berdekad dahulu, namun penjajahan minda masih lagi wujud dan bertapak kuat sehingga sekarang. Masih ada di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berkeyakinan bahawa barangan buatan tempatan mempunyai mutu yang lebih rendah berbanding barangan buatan luar negeri terutama yang datang dari Barat. Masih juga ramai yang mempunyai tasawur bahawa negara ini hanya layak ditadbir dan diperintah mengikut telunjuk Barat atau kuasa asing kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang kurang pengalaman dan dangkal dalam segi pemerintahan. Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan umat ini pasti terserlah apabila mereka telah benar-benar melakukan penghijrahan minda dan tasawur sebagaimana yang dilakukan oleh generasi hijrah para sahabat Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun dahulu.
Tarikh :   23 Disember 2001
[Ruzita Binti Mokhtar]
Editor : PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman]
Hits :  6874  

Wednesday, December 2, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431H


Islamic Greeting Card by Alhabib

Alhabib Greeting Card


Semoga kehadiran bulan Muharram menambahkan lagi amalan dan pengabdian diri kita kepada Allah 

ERTI KORBAN



MASIH ingatkah kisah Wan Hafizam Wan Jusoh yang sanggup berkorban menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tidak ada pertalian darah dengannya?

Kecekalan serta nilai kemanusiaan yang tinggi di jiwa pemuda terbabit membolehkan bayi kecil berkenaan kini dapat terus menikmati kehidupan selepas mendapat 'nyawa' hasil pendermaan itu.

 Peristiwa berkenaan sudah lebih 10 tahun berlalu dan dikhabarkan Wan Hafizam kini sudah mempunyai keluarga serta hidup bahagia bersama keluarganya.

Itu antara keperibadian mulia yang perlu dicontohi apatah lagi pengorbanan berkenaan hanya bersandarkan kasih sayang sesama insan walaupun nyawa sendiri menjadi taruhan.

Begitu juga ertinya pengorbanan dilakukan individu yang rapat dengan kita seperti ibu bapa, guru serta sahabat.

Pengorbanan ibu bapa sememangnya tiada taranya. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang mampu membalas semula segala jasa dan pengorbanan orang tua mereka.

Pejuang kemerdekaan terdahulu juga melakukan pengorbanan besar terhadap kita dan tanpa pengorbanan mereka, mana mungkin kita dapat menikmati keadaan negara seperti sekarang yang semuanya hidup dalam kerukunan.

Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Aidiladha dengan melakukan ibadat korban menerusi penyembelihan binatang ternakan bersama-sama untuk disedekahkan kepada umat Islam yang serba kekurangan.

Malah, ibadat korban ini juga bukan satu ibadat bersifat 'biasa' kerana pemilihan binatang untuk dijadikan korban amat dititikberatkan. Ini termasuk memilih binatang yang benar-benar sihat, cukup umur dan tiada kecacatan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai tanda syukur)." (Al Kautsar ayat 1-2)

Ibadat korban dilakukan sebagai mengingati peristiwa pengorbanan agung pernah dilakukan seorang bapa, Nabi Ibrahim a.s serta anaknya Nabi Ismail a.s selepas mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan perkara yang amat mustahil dilakukan manusia biasa.

Bagi umat Islam, ibadat haji adalah lambang pengorbanan agung pernah dianugerahkan kepada manusia. Ia merujuk kepada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam mendirikan rumah ibadah yang tertua sekali dalam sejarah manusia.

Walaupun pengorbanan jemaah haji dalam ibadat ini tidaklah menyamai tahap rasul dan nabi terdahulu namun mereka ditawarkan Allah s.w.t. keampunan seperti seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Barang siapa mengerjakan haji dan dia tidak mencampurkannya dengan perkara lain (pada waktu terlarang) serta tidak berbuat maksiat, maka dia akan kembali seperti pada saat dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi Ibrahim diperintahkan supaya membina Kaabah di tengah gurun pasir yang tidak pernah didiami manusia sebelum ini.

Peristiwa terbesar pengorbanan itu dinyatakan Allah s.w.t di dalam surah as-Saafaat ayat 102-109 yang maksudnya: "Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: 'Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: 'Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.'"

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), Nabi Ibrahim a.s merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tanah.

Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim."

Nabi Ibrahim dan anaknya tenang menerima ketentuan dan amanah Allah s.w.t itu daripada terpengaruh dengan dalil akal yang tidak bebas daripada cengkaman hawa nafsu itu. Dengan penuh tawaduk baginda membenamkan mata pisau ke leher anaknya, Ismail.

Semua kerja yang tidak masuk akal ini dilaksanakan demi membuktikan kecintaan serta pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Hasilnya, Kaabah tegak sebagai rumah ibadat yang agung sehingga menimbulkan perasaan dengki Abrahah yang kemudiannya menghantarkan tentera bergajah bagi memusnahkannya.

Alangkah terkejut dan bersyukurnya Nabi Ibrahim apabila mendapati seekor kibas terbaring menggantikan jasad anaknya, Nabi Ismail.

Demikianlah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan syariat Allah s.w.t. Perjuangan baginda kemudian diteruskan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda terpaksa lari meninggalkan Makkah dan bagi membersihkan tempat suci itu daripada syirik. Pelbagai penderitaan dan halangan dihadapi oleh junjungan nabi sebelum dikurniakan semula rumah ibadat teragung itu kepada Islam.

Peristiwa berkenaan membuktikan mereka yang berjaya sebenarnya ialah orang yang sanggup melakukan pengorbanan terhadap apa saja yang dimiliki semata-mata kerana Allah s.w.t termasuk berkorban masa, wang ringgit, kepentingan diri, tenaga serta fikiran.

Pengorbanan hakiki boleh diistilahkan sebagai bentuk pengorbanan yang dilakukan bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk membahagiakan orang lain meskipun apa jua yang mereka miliki itu lebih bererti untuk dirinya.

Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata roh korban yang diambil daripada peristiwa Nabi Ibrahim a.s itu adalah pengorbanan yang paling tinggi sehingga mengorbankan anak sendiri.

"Manusia diuji dengan perkara yang mereka paling sayang iaitu keluarga. Sudah pasti tiada siapa yang sanggup mengorbankan anak mereka sendiri.

"Ibadah korban yang kita lakukan pada setiap tahun ini bertujuan mahu menzahirkan sunnah (korban) dengan menyembelih binatang empat kaki ini sebagai simbolik kepada peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s," katanya.

Mohd Farid berkata, pengorbanan yang dilalui keluarga mithali itu patut dicontohi kerana di dalamnya terdapat hikmah mendalam yang mahu membuktikan ketakwaan serta kecintaan hanya untuk Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj ayat 37)

"Islam mengajar umatnya supaya sentiasa ikhlas dalam beribadat dan terus melakukan ibadat yang dituntut secara tetap dan bukannya dilakukan secara berkala atau bermusim. "Malah yang penting dalam ibadah korban itu dikira berdasarkan nilai ketakwaan, kesucian hati serta kesedaran bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik," kata Mohd Farid.

Beliau berkata, umat Islam dituntut untuk terus melakukan kebaikan seperti membaca al-Quran, amal makruf, memperuntukkan harta bagi tujuan kebaikan dan bagi yang tidak mampu berkorban harta, maka mereka boleh berkorban tenaga.

"Kita mempunyai tuntutan untuk dilaksanakan dan hendaklah kembali semula kepada fitrah manusia.

"Manusia pula sememangnya perlu sentiasa diberikan peringatan serta motivasi kerana jika tidak mereka pasti akan lupa dan alpa," katanya.



(petikan : Harian Metro 2 Disember 2009)