Thursday, March 11, 2010

MENGAPA AGAMA INI DINAMAI ISLAM

ASAS-ASAS ISLAM – Abu’l A’la Al-Maududi
Diterjemahkan oleh: H.O.K. Rahmat
Terbitan : DEWAN PUSTAKA FA.JAR- 1985 (1397 H)



Ada pun bermacam-macam agama yang ada di muka bumi ini memperoleh namanya masing-masing ada kalanya dibangsakan kepada nama seorang lelaki yang khas, atau kepada ummat yang tertentu yang menumbuhkan dan menyuburkan agama yang berkenaan. Agama Masehi misalnya mengambil namanya daripada A1-Masih ‘a.s. Agama Budha di ambil daripada nama pembawanya, Gautama Budha. Dan agama Zarathustra dimasyhurkan demikian kerana pendirinya dan pembawa panjipanjinya bernama Zarathustra. Demikian juga agama Yahudi muncul di atas pangkuan suatu kabilah yang dikenal dengan nama kabilah Yahuda, maka agama itupun dinamai Yahudi. Demikian seterusnya. Berlainan dengan agama Islam. Ia tidak dibangsakan kepada seorang lelaki yang khas dan tidak kepada ummat yang tertentu.

Nama Islam itu menunjukkan sifat yang khas yang dikandung oleh makna perkataan “Islam” itu sendiri. Nyatanya, nama ini tidak menunjukkan pembawa dan pengasasnya yaitu seorang lelaki di antara manusia. Ia bukan khas bagi ummat yang tertentu melainkan seluruh bangsa-bangsa. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi ini dengan sifat Islam. Siapa saja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia zaman lampau atau manusia masa kini, ia adalah Muslim: juga orang yang berhias dengannya pada masa depan adalah seorang Muslim.

MAKNA PERKATAAN ISLAM
Apabila anda memeriksa kitab-kitab kamus, anda akan mengetahui bahawa makna perkataan Islam ialah “tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan Nya tanpa bantahan”. Dinamai agama kita ini dengan Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya tanpa membantah.

HAKIKAT ISLAM
Adalah dimaklumi bahawa tiap sesuatu yang ada di alam ini tertakluk kepada kaedah tertentu dan undang-undang yang khas. Matahari, bulan dan bintang-bintang menjalani peredarannya mengikut suatu kaedah yang tetap. Ia tidak menyimpang dan kaedah itu dan tidak terkeluar meskipun sesimpul rambut. Bumi beredar di sekeliling kutubnya, tidak bergerak lebih daripada kadar yang ditentukan baginya. Pergerakan dan perjalanan gerakannya tidak berlain dan tidak bertukar. Air, udara, cahaya dan panas, semuanya berlaku mengikut peraturan yang khas. Benda-benda beku, tumbuh tumbuhan dan binatang-binatang, semuanya mengikut cara yang tetap, tidak mengembang dan tidak menyusut, tidak hidup dan tidak mati melainkan dengan kehendak pengaturNya. Bahkan manusia sendiri, apabila anda perhatikan ke adaannya, nyatalah kepada
anda bahawa ia tunduk kepada ketentuan tabi’i sepenuhnya. Ia tidak bernafas dan tidak merasakan hajatnya akan air, makanan, cahaya dan panas melainkan mengikut undang-undang tabi’i yang berkenaan dengan hayatnya. Dan kerana adanya undang-undang inilah, dengan sendirinya hati manusia terpandu dalam gerak-gerinya, dalam peredaran darahnya, dalam keluar masuk nafasnya. Kepadanya tertakluk seluruh anggota tubuhnya, seperti otak, perut, paru-paru, urat-sarap, urat-urat daging, dua tangan, dua kaki, lidah, dua mata, hidung dan telinga. Segala pekerjaan yang dilakukan oleh anggota-anggota ini tidak akan berlaku melainkan mengikut apa yang ditentukan oleh tabi’i. Mereka tidak akan berbuat apa-apa melainkan sejauh jalan yang
telah ditetapkan baginya. Adapun undang-undang semesta, yang kepadanya Seluruh alam maujud ini menyerah, dan tiada kuasa baginya menghindarinya, mulai danipada planet yang terbesar di langit, sampai kepada butir pasir yang paling kecil di bumi, adalah ciptaan maha pemiik, maha agung dan maha berkuasa. Apabila setiap yang ada dilangit, di bumi, dan di antara keduanya tertakluk kepada undang-undang ini maka alam seluruhnya tunduk kepada pemilik yang maha berkuasa itu, yakni yang menciptanya; ia mengikut akan segala perintah Nya. Dan sudut ini, nyata bahawa Islam itu adalah agama sejagat semesta, kerana Islam bermakna takluk dan mengikut segala perintah Maha Pemerintah dan menjauhi laranganNya tanpa bantahan
sebagai yang anda ketahui terdahulu. Mata hari, bulan dan bumi adalah benda-benda Muslim (yang menundukkan din — pent).

Udara, air,cahaya, kegelapan dan panas adalah benda-benda Muslim. Pohon, batu dan haiwan adalah benda-benda Muslim. Bahkan juga manusia yang tidak mengenal Tuhannya dan yang mengingkari ujudNya dan yang mengingkari tanda-tanda kebesananNya, atau orang yang bertuhankan selain Allah, atau yang menyengutukan Tuhan dengan yang lainNya, adalah seorang Muslim dan segi fitrah yang telah difitrahkan kepadanya. Yang demikian itu, kerana ia tidak dilahirkan, tidak hidup dan tidak mati melainkan sesuai dengan apa yang telah digariskan Allah Ta’ala di dalam undang-undang yang mengatur kelahirannya, yang mengatur hidup dan matinya. Demikian juga, setiap anggota tubuhnya tidak menganut sesuatu agama melainkan agama Islam: kerana ia tidak terjadi, tidak menjadi besar dan tidak bergerak melainkan mengikuti undang undang Tuhan itu sendiri. Bahkan pada hakikatnya, lidahnya yang dipergunakannya untuk menzahirkan pandangan pandangan syirik (menyengutukan Tuhan — pent.) dan kufur secara bodoh dan jahat, tidak menganut agama — dalam dirinya — melainkan agama Islam. Demikian juga kepalanya yang memaksanya tunduk di hadapan yang lain daripada Allah tidak menganut sesuatu agama melainkan agama Islam, mengikut fitrahnya yang telah difitrahkan ke atasnya. Demikian juga hatinya yang mengaliri dirinya dengan cinta kepada selain Allah dan penghormatannya kepada kejahilan dan kejahatan, seluruhanya ini adalah Muslim dan sisi fitrahnya dan semulajadinya. Maka semuanya itu telah Islam (tunduk — pent.) kepada Allah dan mengikut undang-undangNya.

Jika anda telah memahami ini marilah kita lihat pula dan sudut lain. Bagi manusia, dalam hidupnya ada dua pihak yang berlainan:
Pertama: Ia tunduk kepada undang-undang fitrah, mengikutinya begitu sahaja. Yang lain, kepadanya didatangkan akal, kekuatan berfaham ketelitian dan pandangan, maka ia menjadi Islam pada satu pihak dan ingkar pada yang lain. Ia menyukai satu jalan dan membenci cara.yang lainnya. Diletakkannya dalam dirinya pengawal bagi sudut-sudut ke hidupan yang bermacam-macam itu. Atau ia menerima peraturan-peraturan kehidupan yang diletakkan oleh orang lain. Ia tidak terbelenggu di dunia ini. Bahkan ia mempunyai kemerdekaan berfikir dan memilih dalam pandangan dan perbuatan. Ini adalah dua golongan yang berlainan yang dijumpai dalam hidup manusia. Setiap orang mengikut apa yang ada padanya. Golongan yang pertama adalah Muslim yang telah tercipta atas Islam dan telah terfitrah untuk melaziminya. Ia menyertai makhluk lain di alam ini. Ini telah pun anda ketahui terdahulu. Golongan yang lain, Islam atau tidaknya adalah dengan piihan. Dan pilihan ini menyebabkan manusia tergolongan dalam dua golongan:
Manusia yang mengenal penciptanya, beriman kepada Nya sebagai Tuhan, pemilik dan tuan bagi dirinya. Ia mengikuti undang-undang syara’Nya di dalam kehidupan pilihannya (ikhtiyariyyah), sebagaimana ia menurut kepada undang undang tabi’iNya dalam kehidupan paksaannya (al-jabariah). Inilah orang Muslim yang sempurna, yang telah menyempurnakan Islamnya, kerana kehidupannya sekarang telah menjadi Islam itu sendiri. Ia telah menundukkan diri — secara gemar dan ta’at— kepada yang dipatuhinya dan yang ia terikat kepada undang-undangNya tanpa perasaan sebelumnya. Dan jadilah ia sekarang — secara qasad dan sengaja — ta’at kepada Tuhannya, yang sebelum itu dipatuhinya tanpa qasad dan kemahuan. Dan jadilah ilmunya itu benar, kerana ia mengenal Allah penciptanya dan Tuhannya yang telah mengurniakan kepadanya
kekuatan ilmu dan belajar. Dan jadilah akalnya matang dan pandangannya kemas, kerana dia mengamalkan fikirannya, kemudian ia menetapkan hokum bahawa ia tidak akan mengabdikan dirinya melainkan kepada Allah yang telah memberinya kemuliaan dengan kebijakan berfaham dan berfikir di dalam perbagai perkara. Dan jadilah lidahnya benar, memperkatakan yang hak, kerana ia sekarang tidak berikrar melainkan kepada Tuhan yang esa, ialah Allah yang maha tinggi yang telah mengurniakan kepadanya kekuatan berucap dan berkata. Tiadalah yang tinggal lagi sekarang di dalam kehidupannya melainkan kebenaran, kerana ia terikat kepada undang-undang Allah, kerana ia telah memilihnya di dalam urusannya. Dan menjadi panjanglah tonggak perkenalan dan keramahtamahan antara dirinya dengan semua makhluk di alam ini, kerana ia tidak mengabdi melainkan kepada Allah yang maha bijaksana dan maha mengetahui. Tuhan yang kepadaNya seluruh makhluk ini memperhambakan diri, tunduk kepada penintah-Nya dan terikat kepada undang-undang Nya Sekarang, jadilah ia khalifah Allah, yaitu naib-Nya di muka bumi ini. Setiap benda didunia ini adalah untuknya. Dan dirinya adalah untuk Allah Ta’ala sendiri-Nya.

Monday, February 8, 2010

BAHAYA GHIBAH!!!!

Pepatah mengatakan kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa, mungkin sudah sinonim dalam kehidupan kita...Namun mungkin di antara kita kurang faham apakah yang diertikan dengan ghibah? Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa bercakap yang buruk-buruk sahaja dikira ghibah dan banyak lagi tafsiran.

Ghibah sebagaimana kita maklum bahawa ianya diambil daripada kata bahasa arab yang bermaksud mengumpat. Allah mencela orang yang melakukan ghibah diumpamakan dengan memakan bangkai sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran surah al-Hujurat : 12. Apabila disebut tentang bangkai, kita sebagai insan yang waras akan merasa jijik...justeru, kata-kata yang tidak disenangi oleh orang lain juga akan menganggap ianya sesuatu yang jijik. Baginda Rasulullah bersabda : " Takutlah ghibah . Ia lebih buruk daripada zina. Lelaki yang berzina lalu bertaubat kepada Allah maka Allah menerima taubatnya. sedangkan Allah tidak mengampuni orang yang ghibah sebelum orang yang diumpat memaafkannya". Sabda Rasulullah lagi: " Sesiapa yang mengumpat bermaksud menghina saudaranya, Allah meletakkannya jambatan Neraka pada hari Kiamat hingga bebas dari apa yang dikatakannya".

Dalam konteks ghibah, kata-kata yang berupa satu kebenaranpun dianggap mengumpat sebagaimana contoh: eh, si pendek! walaupun sebenarnya dia pendek. Kerana dirawikan bahawa seorang perempuan pendek telah datang kepada Rasulullah untuk sesuatu keperluan. Setelah dia keluar, Aisyah berkata: Wah, pendeknya dia!" Segera Rasulullah berkata :" Engkau telah mengumpat wahai Aisyah!"

Orang yang berghibah akan menerima tiga keburukan iaitu :
1- doanya tida dimakbulkan
2- Kebaikannya tidak diterima
3- akan ditimpa padanya keburukan orang yang diumpat

Dari Anas bin Malik ra berkata :" Telah bersabda Rasulullah :" ketika israk aku melalui suatu kaum melukai muka dengan kukunya serta memakan bangkai, maka aku bertanya " Siapakah mereka wahai Jibril?Dia berkata : Mereka itu orang-orang yang memakan daging orang di dunia".

Jika kita teliti, angin ghibah telah menular di zaman kini di mana kita sulit untuk membezakannya, ini  kerana disebabkan sudah menjadi satu kebiasaan ibarat lori yang membawa sampah tercium baunya menyebabkan kita menekup hidung tetapi lain halnya dengan pemungut sampah tidak pula berbuat sedemikian kerana sudah lali dengan keadaan tersebut.

Dalam dunia serba canggih dan moden ini....ghibah lebih senang menular, sebagai contoh....media cetak, rancangan televisyen, internet, blog dan sebagainya...dijadikan sebagai saluran ghibah....pernahkah kita fikirkan? Apabila keaiban dibuka-bukakan dan didedah-dedahkan seumpama kita membuka rahsia di sebalik kain...Justeru dalam hal ini, wajarlah kita berfkir dahulu sebelum berkata!!!

Friday, January 29, 2010

AMALAN-AMALAN SUNAT MENGIKUT TAKWIM ISLAM

Petikan daripada buku 'indahnya hidup bersyariat' yang ditulis oleh Dato' Ismail Kamus yang telah saya baca untuk dikongsikan bersama iaitu tentang amalan-amalan sunat mengikut takwim Islam.

a) AMALAN SEPANJANG MASA
    i- Solat fardu berjemaah di masjid, surau atau di rumah.
   ii- mendirikan solat sunat rawatib
  iii- Mendirikan solat sunat tertentu khususnya sunat tahajjud, witir, isyrak, dhuha, awwabin, tasbih dan lain-   
       lain.
  iv- membaca zikir ma'thurat selepas solat subuh.
  v- membaca al-quran
  vi- menghadiri majlis ilmu
  vii- Puasa sunat pada hari khamis dan isnin atau pada 13, 14 dan 15 mengikut takwim islam.
  viii- Membaca segala wirid / doa harian
  ix - Bersedekah
  x - Mengerjakan umrah jika mampu
  xi- memelihara mulut, mata, telinga dan anggota-anggota lain daripada perbuatan maksiat dan keji.
  xii- mengingati mati dan menziarahi saudara/sahabat yang sakit dan yang mati.
  xiii- menziarahi sahabat handai, saudara mara lebih lebih lagi orang alim dan para ulamak.
  xiv-amar makruf nahi mungkar.

Semoga hari-hari yang dilalui terisi dengan sentiasa mengingati Allah...
 

Thursday, January 21, 2010

2010 CABARAN DAN RINTANGAN


Hampir sebulan 2010 sudah berlalu, namun....adakah kita memikirkan cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui oleh kita untuk meniti saban hari? Dengan harga barangan yang semakin meningkat, dan segalanya yang memerlukan wang semata-mata.....mampukah kita menghadapi saat getir yang kian menghimpit? Itu adalah sejarah hidup kita di dunia...tapi....apakah sejarah yang akan kita bawa di akhirat pula nanti?

Manusia melalui arus perubahan masa...namun....arus kehidupan kita perlulah berpaksikan kepada al-Quran dan Hadis....kerana itulah jalan yang memandu kita ke arah selamat di dunia dan akhirat yang tak pernah berubah....walaupun dunia mengubah hidup kita.

Banyak bencana, bala yang menimpa....namun manusia masih lagi alpa dan leka....akan hakikat bahawa itu adalah peringatan daripada yang Maha Kuasa. Banyak gejala maksiat berleluasa, pendidikan yang tidak mampu mendidik manusia...dengan kes buli, hilang hormat pada guru...dan pelbagai lagi....menunjukkan bahawa kian hampir kita kepada rukun iman yang kelima.....

Rintangan dan cabaran yang terpaksa dipikul oleh manusia yang masih lagi memiliki iman yang mantap dengan mengejutkan manusia daripada lena yang panjang...dibuai oleh angan-angan dunia yang tidak berkesudahan...semoga....wadah inilah yang boleh mengemudi manusia ke arah laluan yang sebenar....mampukah kita???

Nukilan,
Haslina

Thursday, December 17, 2009

ERTI HIJRAH


PENGHIJRAHAN MINDA DAN TASAWUR
Oleh: Hasnan bin Kasan
Panel Penulis JAKIM
Hijrah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud meninggalkan satu tempat untuk menuju ke tempat lain. Ada di kalangan ahli bahasa yang memberi erti hijrah adalah merangkumi hijrah jasmani dan hijrah rohani. Maksud hijrah jasmani ialah meninggalkan satu-satu tempat. Manakala hijrah rohani pula ialah meninggalkan satu-satu sikap, kepercayaan, akidah, emosi dan tasawur serta menggantikannya dengan yang lain.
Hijrah amat terkenal di kalangan umat Islam kerana ia berkait rapat dengan peristiwa perpindahan Rasulullah s.a.w daripada Mekah ke Madinah dan juga merupakan tarikh permulaan pengiraan tahun Islam. Hijrah lahiriah atau perpindahan badan dari satu tempat ke satu tempat atau dari satu negeri ke negeri yang lain merupakan sesuatu yang mudah dilakukan oleh manusia. Sememangnya manusia kerap berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan tujuan yang tertentu. Saidina Jaafar ibn Abi Talib dengan rombongannya telah berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari tekanan pihak musyrikin Quraisy yang begitu dahsyat. Ramai para sahabat r.a selepas itu telah berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan akidah mereka dari diancam oleh musyrikin Mekah.
Di negara kita, ramai penduduk kampung telah berhijrah ke bandar. Tidak kurang juga yang berhijrah dari bandar ke bandar dengan tujuan untuk menambah pendapatan atau mencari keselesaan melalui pelbagai cara dan bidang mengikut kebolehan dan kelayakan masing-masing. Di peringkat yang lebih rendah lagi, haiwan dan binatang juga melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat terutama di kawasan gurun atau tanah lapang yang luas semata-mata untuk mendapatkan makanan dan perlindungan akibat daripada perubahan musim dan cuaca.
Jika diteliti maka sudah pasti terdapat perbezaan yang amat jelas antara hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dengan hijrah yang dilakukan oleh manusia zaman sekarang iaitu yang tinggal di kampung menuju ke bandar. Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a adalah bertujuan menyelamatkan agama dan akidah, mencari jalan bagi melicinkan usaha memantapkan penghayatan agama dan merupakan usaha mengembangkan risalah Islam kepada seluruh manusia sekalipun mereka terpaksa menanggung kerugian duniawi. Abu Bakar dan Abdul Rahman bin Auf r.a telah meninggalkan semua harta mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah setelah kaum muysrikin Mekah menghalang mereka membawa bersama-sama harta mereka. Manakala hijrah atau perpindahan manusia zaman kini dari kampung ke bandar adalah bertujuan mencari rezeki dan keselesaan hidup. Namun, kedua-dua bentuk hijrah dan perpindahan tersebut tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t selagimana ia dilakukan kerana-Nya.
Intipati peristiwa hijrah baginda Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah bukan sahaja tertumpu kepada perpindahan jasadiah yang dapat disaksikan oleh mata, akan tetapi tujuannya yang lebih penting ialah untuk membimbing dan mendidik para sahabat r.a yang baru sahaja memeluk agama Islam ke arah kesempurnaan penghayatan Islam sedikit demi sedikit. Pendek kata, falsafah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah adalah untuk memastikan perpindahan keyakinan, tasawur, akhlak dan sikap para sahabat r.a dari pengaruh jahiliyah kepada pengaruh wahyu dan fitrah, dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Falsafah hijrah ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w ketika baginda menegur kata-kata Saidina Umar kepada Bilal 'Wahai anak hitam'. Baginda berkata kepada Umar'Sesungguhnya pada diri engkau ada ciri jahiliyah'.
Falsafah hijrah yang telah disemai dan dididik oleh Rasulullah s.a.w ke dalam diri para sahabat r.a ini perlu dihayati oleh generasi Islam masa kini. Sekiranya dengan berbekalkan falsafah hijrah, Rasulullah s.a.w berjaya membentuk sebuah masyarakat Islam yang unggul dan menjadi tuan kepada masyarakat-masyarakat yang bukan Islam di sekeliling Madinah, maka mengapa tidak generasi Islam masa kini menjadikannya sebagai neraca untuk membentuk masyarakat yang unggul dan disegani dalam segenap lapangan.
Sekiranya masyarakat Islam yang awal amat disegani dan dihormati oleh masyarakat yang bukan Islam, mengapa pula umat Islam hari ini dengan bilangannya yang ramai, muka buminya yang luas, kekayaan bahan mentahnya yang melimpah ruah dan cerdik pandainya yang tidak kurang hebatnya, masih menjadi masyarakat yang dipandang rendah dan diperlekehkan oleh masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam masa kini juga telah dijadikan oleh masyarakat bukan Islam terutama masyarakat Barat sebagai tempat memasarkan barangan keluaran mereka. Al Syahid Sayid Qutub ada menyatakan, 'Sehinggakan untuk mendapatkan sebatang jarum pun orang Islam terpaksa mengimportnya dari Barat'.
Di samping membawa para sahabat r.a berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w telah turut membawa bersama-sama minda mereka untuk berhijrah dari kepercayaan, tasawur, sikap dan akhlak jahiliyah kepada kepercayaan, tasawur, akhlak dan sikap yang bertepatan dengan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Sebagai contoh, peristiwa ketika berada di dalam gua Tsur, baginda telah membetulkan kepercayaan dan tasawur yang ada di dalam minda Saidina Abu Bakar r.a. Tatkala melihat Saidina Abu Bakar r.a berada di dalam keadaan ketakutan dan kerisauan iaitu bimbangkan baginda berjaya dikesan atau diapa-apakan oleh kaum musyrikin Mekah, baginda pun berkata 'Janganlah engkau berasa risau dan sedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita'.
Dalam merobohkan tasawur jahiliyah daripada masyarakat Islam yang baru mengenal agama Islam tentang konsep persaudaraan sesama manusia tanpa mengenal batas sempadan negeri, warna kulit dan keturunan, baginda telah mempersaudarakan antara dua golongan yang mempunyai perbezaan yang jauh dari segi status. Baginda telah mempersaudarakan antara golongan yang mempunyai rumah dan tanah (Ansar) dengan golongan pendatang (Muhajirin) yang tidak mempunyai apa-apa selain dari diri dan agama yang mereka yakini.
Dalam menghijrahkan tasawur mereka tentang kedudukan seorang nabi atau rasul, baginda telah menunjukkan betapa diri baginda adalah manusia biasa yang tidak ada bezanya dengan manusia lain. Cuma bezanya Allah telah menurunkan wahyu kepadanya dan menyuruhnya supaya menyampaikannya pula kepada seluruh manusia. Di dalam peperangan Badar, baginda telah menunjukkan betapa orang lain juga berhak memberikan pendapat sekalipun dalam saat-saat genting. Apabila salah seorang dari sahabat baginda mencadangkan supaya tentera Islam berkubu di bawah lembah berhampiran dengan kawasan air, baginda telah menerima cadangan tersebut sekalipun pada asalnya baginda mempunyai perancangan dan cadangan yang tersendiri. Di dalam peperangan Uhud pula, baginda telah bersama-sama berjuang sehingga ditimpa kecederaan yang biasa dialami oleh pejuang-pejuang lain. Di dalam peperangan Ahzab, baginda turut bersama-sama mengerah tenaga untuk menggali parit yang telah dicadangkan oleh Salman al Farisi. Malah diriwayatkan bahawa baginda telah mengangkat batu yang besar yang tidak upaya diangkat oleh para sahabat r.a yang lain dan baginda telah mengalas batu di perut untuk menahan lapar akibat kekurangan makanan.
Di dalam peperangan Hunain, tatkala tentera Islam melihat bilangan mereka lebih ramai daripada bilangan tentera musuh lalu mereka merasakan bahawa mereka pasti mengalahkan tentera musuh. Namun Allah telah mengajar dan membawa minda mereka berhijrah. Allah s.w.t telah mengajar orang-orang Islam bahawa yang menentukan kemenangan dan kekalahan dalam peperangan itu adalah Allah s.w.t, bukannya bilangan dan kelengkapan yang hebat. Allah s.w.t telah menimpakan kekalahan di pihak tentera Islam sehingga Rasulullah s.a.w pula terdedah kepada serangan dan ancaman pihak musuh sehingga peristiwa ini telah diabadikan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a tentang kehidupan di dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda mereka ketikamana baginda bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berehat di bawah sebatang pokok dalam satu perjalanan. Baginda telah berkata kepada para sahabat: 'Sesungguhnya perumpamaan kehidupan dunia adalah seperti kita singgah di bawah pohon ini. Kita hanya singgah buat sementara waktu dan akan meneruskan perjalanan selepas beberapa ketika'.Dalam sabdanya yang lain, baginda telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa 'Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk alam akhirat'.
Dalam membetulkan tasawur para sahabat r.a terhadap konsep usaha dalam kehidupan dunia, Rasulullah s.a.w telah menghijrahkan minda para sahabat r.a bahawa sekalipun Islam menekankan bahawa kehidupan akhirat itu merupakan kehidupan yang lebih baik dan kekal tetapi ia bukan bermakna boleh membantutkan usaha manusia ketika hidup di dunia ini. Baginda telah membayangkan, sekalipun seseorang itu tahu bahawa hari kiamat akan berlaku pada keesokan hari namun dia tetap perlu melakukan kerja atau usaha yang sepatutnya dilakukan. Dalam perkara ini, baginda telah bersabda yang bermaksud, 'Sekiranya ditangan kamu ada benih kurma dan kamu tahu bahawa esok akan berlaku hari kiamat, maka hendaklah kamu menanam dan jangan biarkan hari kiamat berlaku tanpa menanam benih kurma tersebut'.Jika difikirkan, apalah faedahnya menanam benih kurma yang sudah pasti tidak akan mengeluarkan hasilnya dalam tempoh beberapa jam sedangkan keesokan harinya akan berlaku hari kiamat. Si penanam sudah pasti tidak akan sempat memakan hasil benih yang ditanamnya itu.
Namun baginda telah melafazkan hadith ini untuk membawa minda para sahabat r.a dan umat Islam bahawa tugas manusia di dunia ini ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sesempurna yang mungkin tanpa bersikap sambil lewa atau cuai. Ini kerana setiap tugas dan tanggungjawab yang ditunaikan akan dikira oleh Allah sebagai kebajikan sekalipun hasilnya tidak sempat dirasai oleh pelaku ataupun orang lain.
Baginda juga telah menanamkan ke dalam kefahaman masyarakat Islam bahawa alat atau jambatan untuk sampai ke akhirat adalah kehidupan dunia. Mereka yang meninggalkan kehidupan di dunia dengan alasan untuk menumpukan perhatiannya kepada kehidupan akhirat merupakan orang yang tersalah anggap terhadap konsep di dalam kehidupan Islam. Ini kerana kebahagiaan atau penderitaan di akhirat adalah bergantung kepada amalan dan usaha manusia ketika hidup di dunia. Di dunia manusia dipikulkan dengan tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan dengan sempurna, iaitu apabila sahaja dia bertaraf mukallaf dan berakal. Bagaimana mungkin manusia itu hendak mendakwa kebahagiaan menantinya di akhirat sedangkan dia tidak mengenali kewajipan dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan ketika dia hidup di dunia?.
Antara para sahabat r.a yang telah menerima penghijrahan minda yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah Saidina Umar al Khattab r.a. Beliau telah memahami bahawa dalam mencari kemudahan dan bekalan kehidupan dunia, manusia tidak boleh berserah kepada Allah tanpa berusaha. Dengan kefahaman ini, Umar telah memarahi orang Islam yang hanya duduk beribadah di dalam masjid tanpa keluar berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarganya. Beliau telah mengungkap kata-kata yang kekal dalam catatan sejarah Islam yang unggul 'Bagaimana kamu boleh hanya berserah diri kepada Allah sedangkan kamu tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas atau perak'. Saidina Umar r.a juga telah mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan penghijrahan minda dan keyakinannya berhadapan sesama makhluk ketika beliau sedang mengucup Hajar al Aswad, 'Wahai batu, sekiranya aku tidak melihat Rasulullah mengucup engkau nescaya aku tidak akan mengucup engkau sepertimana yang aku lakukan sekarang ini'. Begitulah jelasnya tasawur Saidina Umar r.a terhadap Hajar al Aswad yang tidak boleh mendatangkan manfaat atau mudarat kepadanya. Tasawur ini terhasil setelah Umar r.a menerima sinar hidayah dan penjelasan daripada ajaran Muhammad s.a.w yang menanamkan keyakinan bahawa kuasa yang boleh mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia hanyalah kuasa yang datang dari Allah Tuhan Penguasa alam.
Demikianlah penghijrahan minda yang telah dibawa oleh Islam yang telah disampaikan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Usaha memahamkan manusia dengan konsep dan tasawur yang telah dibawa oleh baginda itu telah diteruskan oleh para sahabat, para tabi’in, para salafus soleh serta para ulama dan pendakwah di masa dulu dan sekarang. Mereka sentiasa ingin melihat manusia hidup sebagai hamba kepada Allah dan bukannya hamba kepada nafsu atau makhluk lain dan juga jauh dari tasawur atau keyakinan yang tidak menepati ajaran Islam yang sebenar. Ini kerana Islam datang dengan tujuan membebaskan manusia daripada penjajahan minda dan tasawur. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ruba’ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rum yang digeruni oleh pihak lawan dan rakan. Rustam telah bertanya kepada Ruba’ei 'Mengapa engkau datang kepada kami ?'. Ruba’ei menjawab 'Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat'.
Usaha-usaha menghijrahkan minda dan tasawur manusia zaman kini amat perlu dan mesti dilakukan untuk memastikan semua manusia akan terus menjalani kehidupan dengan berlandaskan pemikiran bahawa dirinya adalah bebas dari sebarang perhambaan dan ketundukkan sama ada sesama manusia atau makhluk lain. Dalam erti kata lain, usaha-usaha membawa minda dan tasawur masyarakat Islam masa kini untuk berhijrah ke alam suluhan cahaya hidayah Ilahi amat perlu bagi memastikan setiap individu muslim menikmati kemerdekaan yang penuh dari sebarang unsur penjajahan sama ada penjajahan lahiriah ataupun batiniah. Dengan membebaskan diri dan jiwa manusia dari perhambaan atau penjajahan serta menjadikannya bebas merdeka, kita akan dapat melihat manusia berupaya mengketengahkan sifat-sifat positif yang wujud di dalam diri mereka dan mengusir jauh sifat-sifat negatif yang sentiasa menghalang perkembangan dan pembangunan manusia.
Kemerdekaan dan kebebasan manusia dari segi lahiriah dan batiniah ini amat perlu untuk menuju ke sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun. Segenap lapisan masyarakat sama ada di kampung, di kota, pelajar, pendidik, ahli perniagaan, ahli politik, ahli agama, pemimpin, pentadbir dan sebagainya perlu menghayati penghijrahan minda dan tasawur sepertimana yang telah dihayati oleh para sahabat Rasulullah s.a.w di suatu ketika dahulu. Sungguhpun negara kita telah memperolehi kemerdekaan semenjak berdekad dahulu, namun penjajahan minda masih lagi wujud dan bertapak kuat sehingga sekarang. Masih ada di kalangan masyarakat negara Malaysia yang berkeyakinan bahawa barangan buatan tempatan mempunyai mutu yang lebih rendah berbanding barangan buatan luar negeri terutama yang datang dari Barat. Masih juga ramai yang mempunyai tasawur bahawa negara ini hanya layak ditadbir dan diperintah mengikut telunjuk Barat atau kuasa asing kerana masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang kurang pengalaman dan dangkal dalam segi pemerintahan. Sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan umat ini pasti terserlah apabila mereka telah benar-benar melakukan penghijrahan minda dan tasawur sebagaimana yang dilakukan oleh generasi hijrah para sahabat Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun dahulu.
Tarikh :   23 Disember 2001
[Ruzita Binti Mokhtar]
Editor : PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman]
Hits :  6874  

Wednesday, December 2, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431H


Islamic Greeting Card by Alhabib

Alhabib Greeting Card


Semoga kehadiran bulan Muharram menambahkan lagi amalan dan pengabdian diri kita kepada Allah 

ERTI KORBAN



MASIH ingatkah kisah Wan Hafizam Wan Jusoh yang sanggup berkorban menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tidak ada pertalian darah dengannya?

Kecekalan serta nilai kemanusiaan yang tinggi di jiwa pemuda terbabit membolehkan bayi kecil berkenaan kini dapat terus menikmati kehidupan selepas mendapat 'nyawa' hasil pendermaan itu.

 Peristiwa berkenaan sudah lebih 10 tahun berlalu dan dikhabarkan Wan Hafizam kini sudah mempunyai keluarga serta hidup bahagia bersama keluarganya.

Itu antara keperibadian mulia yang perlu dicontohi apatah lagi pengorbanan berkenaan hanya bersandarkan kasih sayang sesama insan walaupun nyawa sendiri menjadi taruhan.

Begitu juga ertinya pengorbanan dilakukan individu yang rapat dengan kita seperti ibu bapa, guru serta sahabat.

Pengorbanan ibu bapa sememangnya tiada taranya. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang mampu membalas semula segala jasa dan pengorbanan orang tua mereka.

Pejuang kemerdekaan terdahulu juga melakukan pengorbanan besar terhadap kita dan tanpa pengorbanan mereka, mana mungkin kita dapat menikmati keadaan negara seperti sekarang yang semuanya hidup dalam kerukunan.

Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Aidiladha dengan melakukan ibadat korban menerusi penyembelihan binatang ternakan bersama-sama untuk disedekahkan kepada umat Islam yang serba kekurangan.

Malah, ibadat korban ini juga bukan satu ibadat bersifat 'biasa' kerana pemilihan binatang untuk dijadikan korban amat dititikberatkan. Ini termasuk memilih binatang yang benar-benar sihat, cukup umur dan tiada kecacatan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai tanda syukur)." (Al Kautsar ayat 1-2)

Ibadat korban dilakukan sebagai mengingati peristiwa pengorbanan agung pernah dilakukan seorang bapa, Nabi Ibrahim a.s serta anaknya Nabi Ismail a.s selepas mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan perkara yang amat mustahil dilakukan manusia biasa.

Bagi umat Islam, ibadat haji adalah lambang pengorbanan agung pernah dianugerahkan kepada manusia. Ia merujuk kepada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam mendirikan rumah ibadah yang tertua sekali dalam sejarah manusia.

Walaupun pengorbanan jemaah haji dalam ibadat ini tidaklah menyamai tahap rasul dan nabi terdahulu namun mereka ditawarkan Allah s.w.t. keampunan seperti seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Barang siapa mengerjakan haji dan dia tidak mencampurkannya dengan perkara lain (pada waktu terlarang) serta tidak berbuat maksiat, maka dia akan kembali seperti pada saat dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi Ibrahim diperintahkan supaya membina Kaabah di tengah gurun pasir yang tidak pernah didiami manusia sebelum ini.

Peristiwa terbesar pengorbanan itu dinyatakan Allah s.w.t di dalam surah as-Saafaat ayat 102-109 yang maksudnya: "Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: 'Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: 'Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.'"

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), Nabi Ibrahim a.s merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tanah.

Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim."

Nabi Ibrahim dan anaknya tenang menerima ketentuan dan amanah Allah s.w.t itu daripada terpengaruh dengan dalil akal yang tidak bebas daripada cengkaman hawa nafsu itu. Dengan penuh tawaduk baginda membenamkan mata pisau ke leher anaknya, Ismail.

Semua kerja yang tidak masuk akal ini dilaksanakan demi membuktikan kecintaan serta pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Hasilnya, Kaabah tegak sebagai rumah ibadat yang agung sehingga menimbulkan perasaan dengki Abrahah yang kemudiannya menghantarkan tentera bergajah bagi memusnahkannya.

Alangkah terkejut dan bersyukurnya Nabi Ibrahim apabila mendapati seekor kibas terbaring menggantikan jasad anaknya, Nabi Ismail.

Demikianlah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan syariat Allah s.w.t. Perjuangan baginda kemudian diteruskan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda terpaksa lari meninggalkan Makkah dan bagi membersihkan tempat suci itu daripada syirik. Pelbagai penderitaan dan halangan dihadapi oleh junjungan nabi sebelum dikurniakan semula rumah ibadat teragung itu kepada Islam.

Peristiwa berkenaan membuktikan mereka yang berjaya sebenarnya ialah orang yang sanggup melakukan pengorbanan terhadap apa saja yang dimiliki semata-mata kerana Allah s.w.t termasuk berkorban masa, wang ringgit, kepentingan diri, tenaga serta fikiran.

Pengorbanan hakiki boleh diistilahkan sebagai bentuk pengorbanan yang dilakukan bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk membahagiakan orang lain meskipun apa jua yang mereka miliki itu lebih bererti untuk dirinya.

Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata roh korban yang diambil daripada peristiwa Nabi Ibrahim a.s itu adalah pengorbanan yang paling tinggi sehingga mengorbankan anak sendiri.

"Manusia diuji dengan perkara yang mereka paling sayang iaitu keluarga. Sudah pasti tiada siapa yang sanggup mengorbankan anak mereka sendiri.

"Ibadah korban yang kita lakukan pada setiap tahun ini bertujuan mahu menzahirkan sunnah (korban) dengan menyembelih binatang empat kaki ini sebagai simbolik kepada peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s," katanya.

Mohd Farid berkata, pengorbanan yang dilalui keluarga mithali itu patut dicontohi kerana di dalamnya terdapat hikmah mendalam yang mahu membuktikan ketakwaan serta kecintaan hanya untuk Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj ayat 37)

"Islam mengajar umatnya supaya sentiasa ikhlas dalam beribadat dan terus melakukan ibadat yang dituntut secara tetap dan bukannya dilakukan secara berkala atau bermusim. "Malah yang penting dalam ibadah korban itu dikira berdasarkan nilai ketakwaan, kesucian hati serta kesedaran bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik," kata Mohd Farid.

Beliau berkata, umat Islam dituntut untuk terus melakukan kebaikan seperti membaca al-Quran, amal makruf, memperuntukkan harta bagi tujuan kebaikan dan bagi yang tidak mampu berkorban harta, maka mereka boleh berkorban tenaga.

"Kita mempunyai tuntutan untuk dilaksanakan dan hendaklah kembali semula kepada fitrah manusia.

"Manusia pula sememangnya perlu sentiasa diberikan peringatan serta motivasi kerana jika tidak mereka pasti akan lupa dan alpa," katanya.



(petikan : Harian Metro 2 Disember 2009)